
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata KKD menerusi agensi di bawahnya sedang mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia yang digubal pada 1998.
Justeru, katanya, KKD mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan berhubung kajian dan pindaan semula akta itu.
“Jadi, KKD rasa sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula dan pastikan peruntukan kita ada sekarang mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa jenis jenayah, khasnya yang berlaku di alam siber.
“Kalau tidak sempat bentang tahun ini, kita akan bentang di Parlimen awal tahun depan,” katanya selepas tayangan “Malbatt: Misi Bakara” di TGV Aeon Mall Kulai, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengenai undang-undang Malaysia berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan menerusi perisian dan peranti komputer.
Razarudin dilaporkan berkata, kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa depan susulan kepesatan teknologi, terutama melalui penggunaan teknologi AI.
Teo berkata, terdapat bukti teknologi kecerdasan buatan (AI) disalah guna bagi tujuan penipuan, apabila suara atau wajah seseorang boleh ditiru menggunakan AI untuk memperdaya ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.
Katanya, pindaan yang akan dibuat termasuk meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan.
Dalam perkembangan lain, Teo berkata, dua peranti Starlink dipasang di Bau dan Julau, Sarawak bulan ini, sekali gus menjadikan tujuh peranti itu sudah dipasang, termasuk di negeri ini, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Untuk baki tiga peranti satelit ini, kita merancang pasang di Sabah dan sedang mengesan lokasi bertepatan.”
Katanya, pemasangan peranti itu di Sabah dan Sarawak sebagai penyelesaian sementara bagi masalah keterhubungan, terutama di kawasan pedalaman yang mana pemasangan kabel fiber optik atau seumpamanya sukar.
Beliau berkata, kos pemasangan dan bayaran bulanan Starlink akan dibiayai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia selama setahun.
“Buat masa ini, kos bagi seunit peranti Starlink berspesifikasi tinggi adalah RM11,613 yang mempunyai jarak liputan kira-kira 100m dengan kelajuan 40 megabit per saat (MBPS) sehingga 220MBPS.”
Katanya, penggunaan 10 unit peranti itu akan menjadi bukti konsep untuk meneliti sebarang permasalahan sebelum penggunaannya diperluaskan lagi.