2,079 kes tipu dalam talian di Johor babit kerugian RM71 juta

2,079 kes tipu dalam talian di Johor babit kerugian RM71 juta

Ketua polis Johor berkata, jumlah itu meningkat 15.5% kepada 2,079 kes dari Januari lalu hingga semalam berbanding 1,800 kes bagi tempoh sama 2022.

Pembelian dalam talian menjadi penyumbang terbesar dengan 485 kes, diikuti 382 kes pelaburan tidak wujud, phone scam (368 kes), tawaran kerja (361 kes) dan pinjaman tidak wujud (338 kes). (Gambar AFP)
JOHOR BAHRU:
Kes jenayah penipuan dalam talian di Johor meningkat 15.5% kepada 2,079 kes dari Januari lalu hingga semalam berbanding 1,800 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata kerugian berjumlah RM71.857 juta direkodkan dalam tempoh itu berbanding RM57.026 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, pembelian dalam talian menjadi penyumbang terbesar jumlah kes tahun ini, iaitu 485 kes, diikuti pelaburan tidak wujud sebanyak 382 kes, phone scam (368 kes), tawaran kerja (361 kes) dan pinjaman tidak wujud (338 kes).

“Sebanyak 478 kes daripada 2,079 kes dilaporkan mangsa kepada National Scam Response Centre (NSRC) bagi tujuan sekatan aktiviti ke atas akaun bank,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai lebih berwaspada apabila berurusan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, orang ramai perlu menyemak nombor telefon dan akaun bank digunakan suspek melalui aplikasi Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

“Orang ramai juga diseru sentiasa mengikuti laman sosial JSJK seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terkini jenayah komersial.

“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan segera menghubungi NRC menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.