
Menerusi catatan di Facebooknya, Anwar yakin negara ini kuat dan mampu melonjak ke depan sekiranya seluruh rakyat berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman serta kasih sayang.
“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh anak bangsa! Segulai sejalai,” menurut catatan itu.
Hari Malaysia tahun ini disambut dengan tema sama Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, manakala frasa bahasa Iban di Sarawak “Segulai Sejalai” bermaksud “seiring sejalan” pula adalah cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan kali ini diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak malam ini.
Sementara itu, ketua perwakilan asing di negara ini menyampaikan ucapan selamat kepada Malaysia sempena Hari Malaysia ke-60.
Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, dalam meraikan hari bersejarah itu berkata kekayaan budaya dan kepelbagaian Malaysia secara konsisten memikatnya sejak beliau ditempatkan di sini pada 2021.
“Rakyat, pemandangan, makanan dan bahasa semuanya bersatu, menambah kepada kepelbagaian berwarna-warni yang menentukan Malaysia yang kita lihat hari ini.
“Pada hari yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakan Malaysia. Semoga persahabatan yang erat antara Jepun dan Malaysia terus berkembang pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook kedutaan pada pagi Sabtu.
Dekan Ketua-ketua Perwakilan Afrika yang juga Duta Somalia ke Malaysia Abukar Abdi Osman, dalam menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia berkata:
“Saya mengucapkan semua rakyat Malaysia pada hari yang penuh dengan kegembiraan, kebanggaan, dan perpaduan ketika anda meraikan kepelbagaian dan kemajuan negara anda. Semoga Allah mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia dan kerajaan mereka,” katanya.
Hari Malaysia meraikan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.