
Warga Sabah dan Sarawak yang ditemubual sempena Hari Malaysia ke-60 berharap masalah kemudahan daif akan diatasi, sekiranya lawatan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membuka mata lebih ramai saudara senegara di Semenanjung.
“Jalan kampung mereka mungkin jauh lebih baik daripada jalan utama kami di Sabah,” kata seorang pengusaha pakaian tradisi Sabah, Anne Antah kepada FMT.
Wanita berusia 47 tahun dari Tuaran ini berharap menerusi lawatan itu, “orang di Semenanjung lebih mengetahui keadaan kita di sini, betapa teruknya bekalan elektrik dan air dan betapa teruknya lebuh raya kita di sini.”
Anne berharap Putrajaya turut mengekori perjalanan Agong di Sabah dan Sarawak, dan menyusulinya dengan tindakan menerusi Belanjawan 2024.
Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga merealisasikan impian untuk bersama rakyatnya di Sabah dan Sarawak, menerusi Kembara Kenali Borneo.
Penjelajahan dari 3 hingga 13 Sept itu bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak; membabitkan perjalanan darat sejauh 2,154km.
Seorang pengacara majlis, Baharun Abidun, 41, yang sempat bertemu Sultan Abdullah secara dekat, berkata kemudahan asas tidak sepatutnya menjadi isu lagi pada zaman sekarang.
“Kami di Tawau, elektrik kadang-kadang mati, pukul 5 petang baru ada. Saya harap kerajaan lihat keadaan elektrik di Tawau, kemudian pembentungan air.
“Kami minta lihat isu banjir dan elektrik, itu sahaja. Sekarang sudah 2023 takkan seperti dulu,” katanya.
Pengerusi Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Gangging Sanggau, berharap kerajaan negeri dan persekutuan dapat bekerjasama memastikan pembangunan prasarana diberi perhatian sewajarnya.
Gangging yang berasal dari Limbang turut berharap Hari Malaysia akan menanam kesedaran betapa pentingnya pemerintah bersikap adil dalam menangani masalah rakyat.
“Inisiatif kemajuan dan keprihatinan perlu dilaksanakan bagi Malaysia secara keseluruhanya. Maju dari infrastruktur sehingga ke minda para-para pemimpin negara,” katanya.