
Ketika itu, pemberontak komunis menyusup ke seluruh negeri itu. Sarawak pada waktu berkenaan disifatkan “subur” bagi merekrut anggota baharu memandangkan banyak perkampungan sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia lagi.
Risikan ternyata penting bagi melaksanakan Ops Jala Raja, yang bermula pada Januari 1970 dan berlangsung selama tiga bulan.
Awal, kini berusia lingkungan 70an, mengimbau kepada FMT apa yang berlaku. Katanya, operasi itu berjaya membunuh 78 ahli komunis serta melumpuhkan pergerakan itu di Sarawak.
“Pihak tentera cuba menghapuskan komunis ini, tetapi maklumat yang diterima mereka tidak tepat jadi rancangan mereka tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Contohnya, ketika tentera menunggu untuk hendap komunis di poin A, komunis pergi ke poin B. Jadi, saya antara mereka dipanggil dari Semenanjung untuk menilai kembali maklumat,” katanya yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras maklumat tentang pergerakan musuh.
Dalam pada itu, tentera menempatkan briged di seluruh Sarawak, manakala tentera Indonesia pula mengawal sempadan Kalimantan.
Ketua kampung juga memainkan peranan penting dalam mengumpul maklumat, katanya.
“Pada waktu itu, (peranan) ketua kampung sangat penting. Mereka tahu siapa orang luar dan pergerakan mencurigakan. Mereka juga boleh arah penduduk kampung cari maklumat tertentu,” katanya, yang juga abang kepada bekas panglima tentera darat, Shahrom Nordin.
Perisik tentera juga bergantung kepada jejak dan tanda ditinggalkan pemberontak untuk mengesan pergerakan.
Menurutnya, operasi tersebut juga menyaksikan seorang anggota terkorban, namun kehilangan itu membakar semangat lalu melancarkan serangan balas.
Katanya, panglima tentera ketika itu, Hamid Bidin, yang menunggu persaraan, berkunjung ke Sarawak dan memuji pasukan berkenaan ke atas kejayaan operasi, sambil menyifatkan ia “hadiah perpisahan paling terbaik”.
Masih segar dalam ingatan Awal bagaimana beliau dan tiga anggota lain daripada tentera Indonesia menyamar sebagai orang kampung masuk hutan sehingga sampai ke Sambas, sebuah perkampungan di Kalimantan.
“Apabila kami sampai, seluruh kawasan itu terbakar. Setiap rumah ranap dibakar oleh komunis dan mayat bergelimpangan merata tempat,” katanya.
Bagaimanapun, kejayaan keseluruhan operasi itu melumpuhkan pergerakan komunis lalu ia berpecah kepada kumpulan kecil dan bertebaran.
Susulan itu, dua lagi operasi – Ops Bara dan Ops Cili Padi – dilancarkan bagi memburu saki baki pemberontak.