Guna invois palsu, kakitangan pertubuhan peladang didenda RM17,000

Guna invois palsu, kakitangan pertubuhan peladang didenda RM17,000

Hakim Anita Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zamadi Mohd Zain, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi PPK Klang.

Mohd Zamadi Mohd Zain, 43, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang didenda RM17,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan iaitu menggunakan invois palsu sebuah syarikat sebagai tulen lima tahun lepas.

Hakim Anita Harun menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Zamadi Mohd Zain, 43, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi PPK Klang, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan.

Mengikut tuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang menggunakan invois palsu sebuah syarikat berjumlah RM17,000 sebagai tulen di Pejabat PPK Klang dekat sini pada 15 Jan 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya. Mohd Zamadi membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ainul Azwan @ Ainul Azirahman memohon hukuman berbentuk denda minimum dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.

Selain itu, katanya, Mohd Zamadi turut menghidap sakit jantung.

“Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah, anak guam saya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serupa, selain menanggung isteri, anak, ibu serta dua adik perempuan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras memohon hukuman yang berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan teladan kepada masyarakat.

“Walaupun tertuduh telah mengembalikan RM17,000 itu, tindakan tertuduh ini mencemarkan nama serta imej baik PPK Klang,” katanya.,

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.