Akar umbi Umno tak terpengaruh permainan politik PN, kata Asyraf

Akar umbi Umno tak terpengaruh permainan politik PN, kata Asyraf

Setiausaha Agung Umno berkata, kejayaan PH-BN pada PRK Simpang Jeram baru-baru ini menjadi bukti sokongan akar umbi kepada parti.

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno akan terus memperjuangkan Islam dan orang Melayu, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengecil-ngecilkan percubaan Perikatan Nasional (PN) untuk memburukkan parti itu kerana menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), menolak tanggapan bahawa ia menyokong konsep Malaysia sekular.

Beliau berkata, Umno akan terus memperjuangkan Islam dan orang Melayu, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Isu kita bersama dalam kerajaan perpaduan, di mana ada 19 parti politik, tetap dimainkan oleh pembangkang seolah-olah ini gabungan Umno-DAP,” katanya selepas taklimat Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Sesi taklimat itu diadakan untuk menjelaskan tentang pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi daripada semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram baru-baru ini.

Beliau dituduh menggelapkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Asyraf berkata, akar umbi Umno tidak terpengaruh dengan sentimen PN, sambil menambah bahawa kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pada PRK Simpang Jeram baru-baru ini menjadi bukti sokongan akar umbi kepada parti.

“Alhamdulillah, apabila kita lakukan proses penerangan di Johor, kita dapat lihat kemenangan besar dapat diperoleh. Walaupun hakikatnya BN tak bertanding, tetapi jumlah majoriti yang diperolehi lebih besar,” katanya merujuk PRN Johor pada Mac 2022.

Tambahnya, permainan persepsi dan fitnah terhadap Umno mesti ditangani secara berfakta, “tanpa memainkan sentimen murahan” seperti PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.