Ikut sistem Singapura untuk jamin perwakilan lebih baik bagi minoriti, kata Shahidan

Ikut sistem Singapura untuk jamin perwakilan lebih baik bagi minoriti, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau itu berkata, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan sistem GRC seperti yang diamalkan Singapura.

Shahidan Kassim (PN-Arau) meminta kerajaan mempertimbangkan penggunaan sistem GRC, yang menurutnya sistem terbaik, di negara ini.
PETALING JAYA:
Shahidan Kassim (Perikatan Nasional-Arau) mencadangkan agar Malaysia mencontohi sistem kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) Singapura untuk meningkatkan perwakilan etnik minoriti di Parlimen.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan sistem pilihan raya yang berbeza, memandangkan sistem sedia ada ditentukan pada 1957 apabila Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa.

“Kalau kita buat pilihan raya dalam bentuk berkumpulan itu (mengikut sistem GRC), (ini) bolehkan golongan minoriti dapat wakil (dalam Parlimen),” katanya di Dewan Rakyat.

“Contohnya orang India, 6.6% (daripada populasi), mereka layak dapat 16 kerusi, tetapi cuba tengok berapa kerusi orang India (dalam Parlimen) sekarang, tak cukup.”

Beliau berkata, di Kemboja, menerusi sistem GRC, golongan minoriti orang Islam mempunyai dua wakil dalam kerajaan, iaitu seorang menteri kanan dan seorang menteri.

“(GRC) ini sistem terbaik, sila pertimbangkan,” katanya.

“Kerajaan dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), lihat balik bagaimana sistem pilihan raya ini, fikirkan balik, kerana ia bermula pada 1957 dan kita tak pernah buat pembaharuan.”

Mengikut sistem Singapura, pengundi dalam GRC akan mengundi sekumpulan individu untuk menjadi Ahli Parlimen mereka, yang mesti terdiri daripada ahli parti politik yang sama atau kesemuanya calon bebas.

Kumpulan itu mungkin terdiri daripada tiga hingga enam individu, seperti yang ditentukan oleh presiden Singapura.

Sekurang-kurangnya salah seorang Ahli Parlimen dalam kumpulan mewakili GRC mesti daripada komuniti minoriti, sama ada Melayu, India atau minoriti lain.

Bilangan GRC ditetapkan sebagai milik masyarakat Melayu tidak boleh melebihi tiga perlima jumlah keseluruhan GRC.

Sistem GRC dibentuk pada 1988 untuk memastikan komuniti minoriti di Singapura akan sentiasa mendapat perwakilan di Parlimen.

Untuk memastikan ini dapat dicapai, Akta Pilihan Raya Parlimen republik itu menghendaki sekurang-kurangnya satu perempat daripada bilangan Ahli Parlimen wakil GRC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.