
Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Speaker Puad Zarkashi sambil disaksikan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan Adun lain.
Terdahulu, Puad yang juga Adun Rengit merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin Ayub atas pemergian beliau pada 23 Julai lepas.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat dan Nazri, atas kejayaan masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK 9 Sept lepas.
Nazri, 56, memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Mazri Yahya dan calon bebas S Jeganathan.
PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Salahuddin, yang juga timbalan presiden Amanah.