Tiket Rahmah RM49.90 untuk saksi GP Malaysia 2023

Tiket Rahmah RM49.90 untuk saksi GP Malaysia 2023

Sebanyak 7,000 tiket di K2 Hillstand dijual dalam talian dan kaunter jualan tiket mulai hari ini.

Grand Prix Malaysia 2023 akan berlangsung dari 10 hingga 12 Nov ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Peminat sukan permotoran tanah air boleh menikmati harga istimewa menerusi tiket Rahmah serendah RM49.90 yang diperkenalkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata 7,000 tiket di K2 Hillstand dijual dalam talian dan kaunter jualan tiket mulai hari ini.

“Selain harga tiket istimewa, parkir percuma dan menu Rahmah untuk F&B (makanan dan minuman) turut diperkenalkan. Ini pertama kali kami perkenalkan inisiatif seumpama ini.

“Jadi, kami menjangkakan 170,000 penonton berbanding 164,000 penonton yang hadir tahun lepas dan sekarang kita berada di landasan betul untuk ‘sold out’ kerana hampir 70% tiket dijual bermula tahun lepas,” katanya dalam sidang media di sini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

MotoGP GP Malaysia 2023 akan berlangsung dari 10 hingga 12 Nov ini.

Dalam pada itu, Azhan berkata tiada pelumba tempatan akan beraksi atas tiket “wild card” dalam perlumbaan GP Malaysia 2023 setakat ini.

Tetapi katanya, keputusan itu boleh berubah jika ada pihak mahu menawarkan diri memberi penajaan dan keputusan itu hanya akan diketahui 45 hari sebelum perlumbaan berlangsung.

“Untuk tahun ini, kita tak ada rancangan lagi untuk meletakkan pelumba negara atas tiket ‘wild card’. Tahun lalu, dua pelumba Petronas bersaing atas tiket ‘wild card’ dalam kategori Moto2.

“Kalau ada penaja ‘wild card’ seperti Petronas, saya tidak menolak kemungkinan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.