Jawatankuasa Parlimen syor tingkat peruntukan Jualan Rahmah

Jawatankuasa Parlimen syor tingkat peruntukan Jualan Rahmah

Syor itu dibuat bagi membantu lebih ramai rakyat meringankan beban kos sara hidup.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berharap inisiatif Payung Rahmah diteruskan pada masa akan datang. (Gambar KDN)
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen antara lain mengesyorkan peruntukan Program Jualan Rahmah ditingkatkan bagi 2024.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan memaklumkan syor dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan semalam bagi membantu lebih ramai rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga menyambut baik inisiatif Kad Insentif Menu Rahmah kepada peniaga Menu Rahmah yang dapat membeli bahan mentah dengan harga yang lebih murah dan langkah ini dipercayai boleh menggalakkan lebih ramai peniaga terlibat dalam menyediakan Menu Rahmah.

“Jawatankuasa ini juga mengesyorkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melibatkan lebih ramai peniaga tempatan untuk terlibat dalam program Jualan Rahmah supaya lebih ramai peniaga kecil mendapat peluang perniagaan,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Bil. 6 Tahun 2023 yang diadakan semalam melibatkan taklimat daripada KPDN mengenai program Payung Rahmah.

Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu Cha Kee Chin (PH-Rasah); Edwin Banta (GPS-Selangau); Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) dan Manndzri Nasib (BN-Tenggara).

Ia turut disertai Tan Kar Hing (PH-Gopeng); Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang); Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu); dan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) serta wakil kementerian.

Menurut kenyataan itu, skop pembentangan Fuziah adalah mengenai Program Payung Rahmah meliputi inisiatif Menu Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Siswa Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah.

Jawatankuasa itu turut merakamkan penghargaan kepada bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub yang memperkenalkan program Payung Rahmah dan berharap program itu diteruskan pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.