Aktivis alam sekitar ragui langkah larang eksport REE

Aktivis alam sekitar ragui langkah larang eksport REE

Kebimbangan sebenar berkisar sekitar potensi kesan sosial dan alam sekitar yang timbul akibat kegiatan perlombongan, kata aktivis.

Pengeluaran satu tan unsur nadir bumi bukan radioaktif akan menjana 2,000 tan sisa toksik, menurut Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis alam sekitar menyuarakan keraguan terhadap keputusan kerajaan melarang eksport unsur nadir bumi (REE), memetik istilah kurang jelas yang digunakan dan kebimbangan mengenai kesan sosial dan alam sekitar akibat kegiatan perlombongan.

Larangan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Isnin semasa pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata, beliau tidak yakin dengan fokus yang dinyatakan kerajaan untuk membangunkan sumber pertumbuhan baharu berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

“Banyak unsur nadir bumi ini wujud mengandungi bahan radioaktif. Kami tidak yakin ia bukan radioaktif,” katanya kepada FMT.

“Kami berpendapat perkara ini perlu disiasat dan disahkan kerana kami tidak percaya dakwaan itu tepat.”

Meenakshi berkata, menurut Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa, pengeluaran satu tan NR-REE akan menjana 2,000 tan sisa toksik, termasuk 75 meter padu air sisa dan satu tan sisa radioaktif.

Rancangan seperti yang didedahkan oleh perdana menteri itu menyediakan peruntukan untuk pemetaan terperinci dan penyediaan model perniagaan komprehensif yang bertujuan memelihara rantaian nilai nadir bumi dalam negara.

Rancangan itu diharap dapat mengelakkan eksploitasi REE dan kehilangan sumber, di samping menjamin pulangan optimum untuk negara, katanya.

Bagaimanapun, Meenakshi berkata, isunya bukan sama ada logam itu bertujuan untuk dieksport. Sebaliknya, kebimbangan sebenar tertumpu pada potensi kesan sosial dan alam sekitar yang timbul akibat kegiatan perlombongan.

“Kebanyakan mineral ini berada di kawasan yang sangat sensitif dari segi alam sekitar,” katanya.

“Bagi kami, punca masalah itu sendiri adalah dalam asas pengekstrakan unsur nadir bumi dan kesannya. Bagus kerajaan mengumumkan bahawa ia bukan untuk eksport kerana ia akan menyebabkan tekanan yang lebih besar terhadap sumber,” tambahnya.

Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berjanji akan memantau kerajaan berhubung janjinya untuk memberi tumpuan pada NR-REE.

Presiden Peka Damien Thaman Divean berkata, kerajaan berhak mendapat keuntungan daripada perlombongan REE tetapi mesti secara aktif mencari dan melaksanakan kaedah pengekstrakan yang meminimumkan kerosakan pada alam sekitar.\

“Kerajaan tidak akan menghentikan percubaan untuk meneroka atau melombong REE kerana ia mempunyai potensi besar untuk memberikan hasil (tetapi) ia perlu dilakukan dengan kaedah yang sangat mampan dan mesra alam.

“Kerajaan harus menghabiskan masa membangunkan dan menguji kaedah sedemikian,” katanya.

Damien memuji hasrat kerajaan untuk membangunkan industri tempatan dalam bidang itu.

Beliau berkata, atas saranan Peka, kerajaan mula melatih penduduk tempatan dalam menapis logam itu bagi membolehkannya dijual pada harga yang lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.