Tahap keselamatan empangan kritikal, bekas menteri saran tubuh jabatan

Tahap keselamatan empangan kritikal, bekas menteri saran tubuh jabatan

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebahagian empangan berusia lebih 100 tahun.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hanya ada sebuah skuad di bawah Jabatan Bekalan Air yang memantau tahap keselamatan empangan di seluruh negara ketika ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan Jabatan Keselamatan Empangan ditubuhkan bagi memantau tahap keselamatan empangan di seluruh negara yang kini dalam keadaan kritikal.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sebahagian empangan berusia lebih 100 tahun.

“Bayangkan kalau apa-apa berlaku kepada empangan kita, risiko kematian dan bencana sangat dahsyat yang tak boleh kita bayangkan. Empangan Klang Gate (di Ulu Klang, Gombak) sebagai contoh, kalau berlaku bencana, berapa ribu mangsa akan terjejas?

“Banyak, malah jutaan nilai harta akan musnah. Maka, saya cadangkan Jabatan Keselamatan Empangan ditubuhkan,” katanya menurut Harian Metro ketika membahas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.

Ketika ini, katanya, hanya ada sebuah skuad di bawah Jabatan Bekalan Air, iaitu di peringkat kementerian yang memantau tahap keselamatan empangan di seluruh negara.

“Pada November 2021, Empangan Chereh pecah. Empangan ini untuk bekalan air bagi bandar Kuantan (di Pahang). Nasib baik ia tidak pecah di permukaan.

“Pada 7 Jan, saya turun dengan pasukan. Dia pecah di bahagian tepi yang menyebabkan aliran air masuk ke ladang kelapa sawit, nasib baik tidak kena kawasan perumahan penduduk. Namun, hingga hari ini, Empangan Chereh belum dibaiki.”

Oleh itu, katanya, tiba masa jabatan ini segera ditubuhkan dan kerajaan digesa mempercepatkan penubuhan Jabatan Perumahan Iklim di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menangani isu perubahan iklim sangat serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.