Polis rakam keterangan Muhyiddin berkait isu 3R

Polis rakam keterangan Muhyiddin berkait isu 3R

Bekas perdana menteri itu dilapor bertemu pegawai polis di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Muhyiddin Yassin disiasat kerana disyaki menyentuh isu bangsa, agama dan raja atau 3R dalam satu ceramah menjelang PRK Johor.
PETALING JAYA:
Polis merakam keterangan Muhyiddin Yassin dipercayai berkaitan tuduhan bekas perdana menteri itu menyentuh isu kaum, agama dan raja atau 3R menjelang PRK Johor pada 9 Ogos lalu.

Difahamkan, pegawai polis mengambil keterangan pengerusi Perikatan Nasional itu di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur.

Pada 9 September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan “fatwa” haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dan orang Melayu hilang kuasa.

Pada minggu lalu, Muhyiddin dalam satu ceramah dilaporkan berkata “haram” mengundi calon PH di PRK Parlimen Pulai Suhaizan Kayat.

Muhyiddin kemudiannya menjelaskan beliau hanya berkias menyebut “saya bagi hukum haram” dan bukan berniat ia adalah fatwa atau hukum syarak.

Beliau juga mendakwa kenyataannya itu dipetik di luar konteks dan dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai.

Muhyiddin juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa orang Melayu sudah hilang kuasa, dan kerajaan ketika ini dilihat tidak memahami masalah yang dihadapi orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.