Nombor plat klasik: SPRM siasat jika ada salah guna kuasa, rasuah

Nombor plat klasik: SPRM siasat jika ada salah guna kuasa, rasuah

SPRM akan meneliti perkembangan dakwaan salah laku tersebut melalui siasatan dijalankan petugas khas ditubuhkan Kementerian Pengangkutan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata setakat ini pihaknya menyerahkan siasatan kepada pasukan petugas khas diwujudkan Kementerian Pengangkutan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan “masuk” untuk melakukan siasatan berkaitan isu pendaftaran nombor plat klasik kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jika wujud elemen salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata suruhanjaya itu akan meneliti perkembangan dakwaan salah laku tersebut melalui siasatan dijalankan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan berhubung isu berkenaan.

“Setakat ini kita serahkan siasatan kepada pasukan petugas khas yang diwujudkan berhubung dakwaan itu. Kita akan tengok sama ada elemen salah guna kuasa atau rasuah wujud barulah kita masuk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Pada 8 Sept lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas yang dianggotai Unit Integriti Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat dakwaan salah laku di JPJ berkaitan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan.

Ia rentetan pendedahan dokumen dikenali sebagai “JPJandora Papers” melalui saluran Telegram Edisi Siasat yang mendakwa wujud skandal di jabatan itu apabila nombor plat klasik dihidupkan semula dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit, dengan kegiatan itu dikatakan didalangi pegawai JPJ sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.