Najib, Arul Kanda kekal bebas tuduhan pinda laporan audit 1MDB

Najib, Arul Kanda kekal bebas tuduhan pinda laporan audit 1MDB

Mahkamah Rayuan menolak notis rayuan pihak pendakwaan kerana difailkan selepas tamat tempoh rayuan.

Najib Razak (kiri) didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB, manakala Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan menyalahgunakan kuasa dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail berkata dua notis rayuan pendakwaan ditolak kerana gagal menfailkan petisyen rayuan sebelum tarikh akhir rayuan iaitu 6 Julai.

“Sehingga hari ini pihak pendakwaan juga tidak memfailkan sebarang permohonan untuk melanjutkan tempoh akhir rayuan.

“Notis rayuan yang difailkan juga sudah lapuk dan menjadi tidak sah mengikut undang-undang. Atas sebab itu kami menolak notis rayuan tersebut,” kata Hadhariah.

Dua lagi panel yang bersidang adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Arioffin.

Katanya, berdasarkan rekod mahkamah, tiada permohonan lanjutan masa difailkan walaupun pihak pendakwaan diminta berbuat demikian dalam tiga pengurusan kes sebelum ini.

“Sehingga hari ini, selepas tertangguh selama dua bulan (6 Julai hingga 12 Sept), tiada permohonan untuk lanjutan masa,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim membuat permohonan lisan kepada mahkamah untuk lanjutan masa rayuan dengan alasan kes itu berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda berkata permohonan itu perlu ditolak kerana pihak pendakwaan tidak memfailkan apa-apa hingga semalam.

Peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata mengikut Seksyen 53 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, sesuatu rayuan dianggap gugur sekiranya petisyen rayuan tidak difailkan mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, semasa tiga pengurusan kes, timbalan pendaftar mengingatkan kepada pendakwaan untuk memfailkan permohonan lanjutan masa tetapi tidak diendahkan.

“Ini menunjukkan mereka kurangnya berminat untuk meneruskan rayuan. Kedua-dua responden (Najib dan Arul Kanda) perlu dibebaskan daripada tuduhan,” katanya.

Pada 3 Mac lalu Mahkamah Tinggi membebaskan Najib daripada tuduhan menyalahgunakan kuasa dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB.

Arul Kanda yang didakwa bersubahat dalam membuat pindaan itu juga dibebaskan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.