Kelantan terendah, hanya 3 penderma organ sejak 1976

Kelantan terendah, hanya 3 penderma organ sejak 1976

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan berkata isu agama dan tanggapan negatif terhadap pendermaan organ antara faktor menyumbang kepada peratusan rendah.

Dr Zaini Hussin berkata seorang penderma boleh menyelamatkan empat hingga lapan nyawa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendermaan organ di Kelantan terendah, dengan hanya tiga orang sejak inisiatif itu diperkenalkan 47 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK), Dr Zaini Hussin, berkata kadar pendermaan organ hanya mencatatkan 0.01% daripada tiga juta populasi penduduk negeri itu.

“Setakat ini, kadar pengikrar derma organ di Kelantan adalah 0.4%, iaitu 7,500 orang. Jumlah itu satu angka yang terlalu rendah berbanding negeri lain,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata, isu agama dan tanggapan negatif terhadap pendermaan organ antara faktor menyumbang kepada peratusan rendah itu.

“Mungkin ada yang berasakan prosedur pendermaan boleh menyeksa mayat, tetapi fatwa sudah dikeluarkan yang pendermaan organ dibolehkan.

“Sekiranya isu agama yang membawa kepada persepsi tertentu terhadap pendermaan organ, kita sudah mengambil kira pandangan ulama berkaitan isu ini,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Zaini berkata, statistik Pusat Sumber Transplan Nasional sehingga Julai lalu menunjukkan 10,747 pesakit dalam senarai menunggu transplan organ.

Beliau menghargai keputusan sukar waris, tetapi pada masa sama bersikap terpuji kerana memberi kehidupan baharu kepada pesakit memerlukan.

“Kami sebenarnya berusaha melaksanakan prosedur secepat mungkin dan dengan sempurna dan kaedah itu juga boleh dimaklumkan kepada orang ramai bagi menarik bakal penderma organ.”

Katanya, pendermaan kornea, tulang dan kulit boleh dilakukan selepas kematian otak serta jantung, tetapi jika jantung masih berfungsi dengan bantuan ubat, jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang boleh didermakan.

“Secara kesimpulannya, seorang penderma boleh menyelamatkan empat hingga lapan nyawa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.