
Johari berkata, salah satunya adalah menggantikan subsidi pukal dengan subsidi bersasar.
“Walaupun subsidi (pukal) ini membantu rakyat dari segi mengurangkan kos sara hidup, subsidi ini juga memberi kesan negatif, seperti penyalahgunaan dan ketirisan dalam bentuk penyeludupan.
“Contohnya, pada awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa negara menanggung kerugian sebanyak RM10 bilion daripada subsidi diesel yang disebabkan oleh penyelewengan dan penyeludupan.
“(Jumlah) RM10 bilion ini sepatutnya boleh disalurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat.
Johari juga menegaskan sifat regresif subsidi pukal dengan berkata, ia memberi manfaat secara tidak seimbang kepada kumpulan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, data Bank Negara (BNM) menunjukkan kumpulan T20 menikmati 42% subsidi petrol, manakala kumpulan B40 hanya menerima 14%.
Bekas menteri kewangan II itu juga menggesa kerajaan agar mengutamakan penggunaan cekap dana yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023, memandangkan hanya RM43.9 bilion dibelanjakan setakat ini.
“Kita sudah tidak ada masa. Kita kena guna segala (peruntukan) yang telah diluluskan. Pembayaran mesti dibuat secara cekap dan pantas,” katanya.
“Sekiranya projek-projek yang diluluskan sebelum ini tidak boleh memanfaatkan ekonomi, maka perlu lah semak semula, dan kita cari projek-projek ini supaya ia memberi ‘multiplier effect’ (kesan pengganda) kepada ekonomi negara.”
Satu lagi bidang tumpuan kerajaan, menurut Johari, adalah keterjaminan makanan, memandangkan kos makanan meningkat mendadak, terutamanya beras.
Beliau berkata, Malaysia boleh belajar daripada kisah kejayaan luar biasa Vietnam, yang beralih daripada pengimport beras kepada antara pengeksport beras terkemuka dunia.
“Dengan adanya Mardi, macam-macam peruntukan belanjawan setiap tahun, dan penglibatan oleh syarikat swasta yang terlibat dalam penanaman padi berskala besar, saya percaya suatu hari nanti Malaysia juga boleh mengeksport beras, sepertimana berlaku di Vietnam,” katanya.