
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, parti itu berisiko hilang sokongan bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina.
“DAP juga akan dilihat sebagai tidak berprinsip teguh dan terlalu berkompromi dengan kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, parti itu boleh “mengucapkan selamat tinggal” kepada penyokong progresif lagi reformis sekiranya moto itu digugurkan.
“Malaysian Malaysia” menjadi ungkapan penarik DAP dan pemimpinnya sejak ditubuhkan pada 1966. DAP mengguna pakai demokrasi sosial sebagai ideologinya, “untuk lebih merangkumi pelbagai sudut pandangan demokratik dan progresif.”
Pemimpin Umno menggesa parti itu mempertimbangkan untuk menggugurkan motonya jika mahu meraih sokongan masyarakat Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Nur Jazlan Mohamed berkata orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekular, yang bercanggah dengan prinsip Islam dan Melayu.
Dua parti itu yang sekian lama berseteru kini bekerjasama dalam gabungan kerajaan perpaduan menerusi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Awang Azman berkata, DAP perlu menjelaskan maksud “Malaysian Malaysia” kepada massa Melayu supaya tidak disalahertikan.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu tidak perlu bertindak demikian kerana beliau telah menjelaskan peruntukan dalam perlembagaan parti yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan Melayu, sebelum pembentukan kerajaan perpaduan.
Disoal kenapa pemimpin Umno membangkitkan isu slogan itu pada ketika ini, Awang Azman berkata ia disebabkan tindakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mencetuskan ketakutan dalam kalangan Melayu sebagai sebahagian daripada agenda anti-DAP beliau.
“Ketika kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (dibentuk), orang Melayu bimbangkan slogan ini yang disalah tafsir oleh Mahathir, seolah-olah ia bertentangan Perlembagaan.
“Kita tahu sekiranya ia memang bertentangan dengan perlembagaan, DAP pasti dibatalkan pendaftarannya sejak dulu lagi,” katanya.
Oh berpendapat pemimpin Umno menggunakan isu itu untuk menutup kegagalan mengekalkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.
Penganalisis politik James Chin dari University of Tasmania percaya pemimpin Umno mahu membuktikan kepada masyarakat Melayu bahawa mereka mampu mendominasi parti bukan Melayu dalam PH, sebagaimana terhadap MCA serta MIC dalam BN.
“Mereka (Umno) cuba menghantar mesej kepada masyarakat Melayu bahawa ‘anda boleh mengundi Umno, tiada masalah. Kami akan memastikan mendominasi bukan Melayu dalam PH juga’,” katanya.