
Beliau berkata ini bagi mengambil kira perkembangan terkini berhubung pindaan undang-undang dan teknologi maklumat.
“Ia termasuk mengambil kira cabaran dihadapi setiap agensi dan memasukkan langkah khas yang diperkenalkan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023, Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak (Pindaan) 2023 serta pindaan undang-undang yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
“Garis panduan berkenaan tidak dikemas kini sejak ia dilancarkan pada 2017 dan kini ia akan dikemas kini dengan baik,” katanya selepas melawat Pusat Temu Duga Kanak-kanak di Bukit Aman.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain.
Justeru, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk mengemas kini garis panduan itu.
Katanya, BHEUU juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi menggubal peraturan atau kod industri mandatori untuk menyekat bahan penderaan kanak-kanak dalam talian.
Mengenai perkembangan terkini Suruhanjaya Kanak-kanak Malaysia, Azalina berkata rang undang-undang suruhanjaya itu akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.
Beliau berkata apabila Suruhanjaya Kanak-kanak ditubuhkan, ia akan bertindak sebagai badan bebas atau pemerhati terhadap semua isu melibatkan kanak-kanak di negara ini.
“Kewujudan pejabat Suruhanjaya Kanak-kanak itu juga bakal menjadi pusat rujukan utama negara luar melihat Malaysia mengendalikan kanak-kanak tanpa dokumen dan pelarian kanak-kanak.
“Ketika ini, Suruhanjaya Kanak-kanak diletakkan di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), tetapi saya hendak suruhanjaya berkenaan dikeluarkan daripada Suhakam agar ia menjadi badan bebas.”