
Disokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Lawan Lapar, gerakan bagi memastikan keselamatan makanan di Malaysia, petani itu menyerahkan satu memorandum menekankan kebergantungan negara kepada import untuk memenuhi permintaan makanan domestik.
Memorandum itu menyatakan import makanan melonjak 75 kali ganda sejak 1990 dan data Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan menunjukkan stok beras Malaysia hanya mampu bertahan enam bulan, jika rantaian bekalan antarabangsa terjejas.
Ia diterima wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Presiden Muda merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mereka mahu kerajaan melaksanakan sistem baharu dan mengembangkan sistem sedia ada untuk mewartakan tanah pengeluaran makanan kekal. Katanya, sistem sedemikian perlu dilaksanakan melalui pengambilan tanah negeri oleh kerajaan persekutuan.
Memorandum itu turut menggesa Putrajaya memperbaharui undang-undang tanah, khasnya melanjutkan tempoh maksimum lesen pendudukan sementara (TOL) kepada lima tahun berbanding setahun.
Ia turut menggesa ketelusan dalam urusan tanah negeri bagi mencegah rasuah dan memastikan kepentingan orang ramai, termasuk komuniti pengeluar makanan, dilindungi.
Katanya, kerajaan perlu mewujudkan sistem subsidi untuk menggalakkan kerajaan negeri melindungi tanah pertanian, yang secara langsung menyumbang kepada bekalan makanan domestik.
Pengerusi PSM, Michael Jeyakumar berkata kira-kira 1,600 ekar tanah digunakan untuk menanam sayur-sayuran “diberikan kepada pemaju” sejak 15 tahun lalu.
“Ini bukan saja menafikan petani daripada tanah pertanian mereka, tetapi juga menimbulkan ancaman keselamatan makanan yang ketara.”
Beliau mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dengan kerjasama kerajaan Perak bagi menilai semula keputusan menjual tanah terbabit.
Jeyakumar turut mencadangkan sistem pajakan bagi membolehkan petani menggunakan tanah untuk tempoh tidak ditetapkan, dengan pilihan mengembalikannya kepada kerajaan untuk dipajak semula kepada petani lain, jika perlu.