Adun Muda pindah blok pembangkang DUN Johor

Adun Muda pindah blok pembangkang DUN Johor

Menurut Speaker DUN Johor Puad Zarkashi, ini susulan kenyataan media oleh presiden Muda dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Dewan Negeri Johor Chen Kah Eng.

Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz adalah satu-satunya wakil Muda dalam DUN Johor.
PETALING JAYA:
Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz dipindahkan ke blok pembangkang dalam sidang DUN Johor, kata Speaker Puad Zarkashi.

“Berdasarkan kenyataan media oleh presiden Muda dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Dewan Negeri Johor daripada Blok Pakatan Harapan (PH) Chen Kah Eng (Stulang), tempat duduk Amira Aisya dipindahkan sebaris dengan Blok Pengimbang PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amira adalah satu-satunya wakil Muda dalam DUN Johor.

Pada Ahad, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan partinya meninggalkan kerajaan perpaduan atas rasa tidak puas hati apabila perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berhenti secara mendadak susulan keputusan dilepas tanpa dibebaskan.

Syed Saddiq mendakwa tindakan kerajaan itu dilihat sebagai menormalisasikan rasuah, dan beliau tidak mahu berkompromi dengan tingkah laku yang dilihatnya sebagai tidak berprinsip itu.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata, beliau telah menerima surat daripada Syed Saddiq yang memohon untuk menukar tempat duduknya dalam Parlimen.

Puad dalam kenyataannya hari ini turut memaklumkan Adun Simpang Jeram yang baharu, Nazri Abdul Rahman akan mengangkat sumpah pada 14 Sept semasa mesyuarat ketiga penggal kedua DUN Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.