Kongres ekonomi Bumiputera diadakan tahun depan, kata Anwar

Kongres ekonomi Bumiputera diadakan tahun depan, kata Anwar

Perdana menteri berkata kongres itu bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kongres itu bagi memperkasa dan melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung kepada gaji kepada membina perniagaan. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari tahun hadapan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kongres itu diadakan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama, dan inklusif.

“Ikhtiar ini bermakna bagi memperkasa Bumiputera dan akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana.

“Ini bagi melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul khas bagi kelulusan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025.

Terdahulu, Anwar berkata semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan Bumiputera dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata.

Beliau berkata selepas lima dekad, pemilikan itu masih belum mencapai sasaran 30% yang ditetapkan.

“Syarikat Bumiputera akan terus berpeluang untuk menerima manfaat sokongan pembiayaan daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada 16 agensi Bumiputera.

“Antaranya termasuk Majlis Amanah Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional, Ekuiti Nasional Berhad, Unit Peneraju Agenda Bumiputera, dan Permodalan Nasional Berhad. Sokongan pembiayaan ini mencecah RM30 bilion sejak tiga Rancangan Malaysia terdahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.