Bunuh 23 penghuni tahfiz, Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman penjara

Bunuh 23 penghuni tahfiz, Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman penjara

Panel hakim turut menolak rayuan pihak pendakwaan yang mahu tertuduh kedua diarah membela diri atas tuduhan sama.

Mahkamah Rayuan memutuskan tiada sebab untuk mengusik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati perayu bersalah atas tuduhan membunuh 23 penghuni tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.
PUTRAJAYA:
Seorang pemuda kekal ditahan di penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan membunuh 23 mangsa dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Abu Bakar Jais, Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun menolak rayuan pemuda berumur 22 tahun itu selepas mendapati dapatan salah oleh Mahkamah Tinggi yang dikenakan terhadapnya itu adalah selamat dan seharusnya dikekalkan.

Sementara itu, panel yang sama turut menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi remaja yang kini berusia 22 tahun terhadap tuduhan sama tanpa dipanggil membela diri.

Che Mohd Ruzima yang membacakan keputusan, berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah kuat dan menuding kepada satu arah iaitu remaja itu yang memanjat belakang pagar sekolah berkenaan bersama-sama dengan seorang lagi yang tidak dikenal pasti untuk menyebabkan kebakaran hingga 23 orang terkorban.

Beliau berkata tiada sebab bagi mereka untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi.

Pemuda itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 individu dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berusia 16 tahun ketika kejadian itu bersama seorang lagi individu yang tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.