PRK Johor: Rakyat terima kerajaan perpaduan, kata Zahid

PRK Johor: Rakyat terima kerajaan perpaduan, kata Zahid

Calon PH Suhaizan Kayat menang di Pulai dengan majoriti 18,641 undi manakala Nazri Abdul Rahman menikmati majoriti 3,514 undi di Simpang Jeram.

Zahid Hamidi ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-15 Parti Makkal Sakti.
KUALA LUMPUR:
Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pulai dan Simpang Jeram semalam membuktikan rakyat menerima kerajaan perpaduan dan mula menolak politik fitnah dibawa pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata sebelum ini mereka mengakui sedikit bimbang mengenai dakwaan calon dari parti kerajaan hanya menang tipis kerana berdepan cabaran terutama kempen negatif lawan.

Katanya, kemenangan Suhaizan Kayat di Pulai dengan majoriti 18,641 undi dan Nazri Abdul Rahman yang menikmati majoriti 3,514 undi di Simpang Jeram bukti rakyat Johor menolak politik fitnah.

“Rakyat Johor mengetahui yang boleh menjamin kestabilan hanyalah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-15 Parti Makkal Sakti.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kemenangan dengan majoriti yang agak selesa juga referendum bahawa kerajaan perpaduan diterima dan mendapat keabsahan oleh rakyat.

“Kemenangan di Pulai bukan menang dua, 300 undi tetapi lebih 18,000 majoriti. Kemenangan di Simpang Jeram lebih daripada kemenangan yang lalu lebih 3,000,” katanya.

Mengulas PRK Pelangai bulan depan, Zahid berkata beliau sedang meneliti nama bakal calon bersama Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau mengesahkan telah menerima enam nama yang akan disenarai pendek dalam waktu terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.