
Beliau berkata, perkara itu akan menjadi antara tugas pertamanya selepas dipilih sebagai wakil rakyat memandangkan ketika PRK Simpang Jeram yang berakhir semalam, tidak ramai anak muda dilihat keluar mengundi.
Katanya, beberapa program dirancang untuk anak muda kawasan berkenaan seperti acara sukan dan rekreasi melibatkan pelbagai kaum, akan dilaksanakan sebaik sahaja beliau selesai mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di situ.
“Kita di sini (DUN Simpang Jeram) juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang sesuai terutama bagi mereka yang pertama kali mengundi iaitu pengundi 18 tahun.
“Pemahaman kepada golongan muda ini untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mampu bekerja untuk mereka adalah satu perkara yang penting,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar Jalan Sakeh dan Batu 3 Bakri.
Nazri yang juga timbalan ketua Amanah Bakri memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti undi 3,514 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Dr Mohd Mazri Yahya dan bebas S Jegananthan.