Kereta terbabas rempuh maut 3 penunggang

Kereta terbabas rempuh maut 3 penunggang

Polis berkata tiga mangsa itu menunggang motosikal dalam keadaan seiring dalam perjalanan pulang ke Temerloh.

Ketua Polis Maran Norzamri Abd Rahman, berkata kereta dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dari laluan bertentangan lalu merempuh semua mangsa. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Tiga penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta yang terbabas di Jalan Besar Felda Jengka 17, Maran dekat sini, semalam.

Ketua Polis Maran Norzamri Abd Rahman, berkata kemalangan pada 6.15 petang itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mereka ialah Fadhil Syah Sulaiman, 19, dan Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, dari Felda Lepar Utara serta Mohd Ridhwan Mahayadin, 35, beralamat di Felda Jengka 17.

“Semua mangsa yang bekerja di ladang di Felda Lepar Utara dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan seiring dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari Temerloh, dekat sini.

“Semasa di lokasi kejadian, sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa lalu merempuh mereka,” katanya dalam kenyataan.

Norzamri berkata, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 51 tahun dari Bandar Jengka pula dikejarkan ke Hospital Jengka kerana mengalami sesak dada.

Semua mayat dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat manakala kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.