Pahang batal kelulusan balak, Lubuk Yu diwarta taman negeri

Pahang batal kelulusan balak, Lubuk Yu diwarta taman negeri

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata pewartaan itu menjadikan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu sebagai hutan taman negeri keempat Pahang.

Hutan Taman Negeri Lubuk Yu seluas 14,679.28 hektar adalah taman negeri keempat Pahang, selepas Cameron Highlands, Rompin dan Tasik Chini. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Kerajaan Pahang bersetuju mewartakan sebahagian Hutan Simpan Berkelah di Maran dekat sini, sebagai Hutan Taman Negeri Lubuk Yu melibatkan kawasan seluas 14,679.28 hektar, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Pewartaan itu menjadikannya sebagai hutan taman negeri keempat Pahang, selepas Cameron Highlands pada 2019 dengan keluasan 2,270 hektar, Rompin pada 2000 melibatkan kawasan 31,797 hektar dan Tasik Chini di Pekan pada tahun lepas dengan keluasan 6,502.80 hektar.

Menurut Wan Rosdy keputusan mewartakan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang yang bersidang pada Rabu lepas.

“Hutan Taman Negeri Lubuk Yu turut diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air dan diletakkan di bawah Perbadanan Taman Negeri Pahang dengan pengurusannya oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Selain itu, zon penampan Taman Negeri selebar 1.5km akan diwujudkan.

“Menerusi pewartaan ini, kelulusan pembalakan di kawasan tersebut telah dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Rosdy memaklumkan penubuhan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu menjadikan Pahang setakat ini, mempunyai Hutan Taman Negeri yang berstatus Hutan Simpanan Kekal seluas 55,249.08 hektar bagi melindungi flora dan fauna selain menjadi lokasi pelancongan ekorimba unik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.