‘Dah banyak kali bagi amaran’, timbalan KPN akui sukar bendung isu 3R

‘Dah banyak kali bagi amaran’, timbalan KPN akui sukar bendung isu 3R

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan terus memantau kenyataan-kenyataan sedemikian bagi memastikan tiada pihak mengeksploitasinya.

Ayob Khan Mydin Pitchay berpesan kepada semua pihak agar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkait 3R. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sukar menghalang pelbagai pihak, termasuk ahli politik, mengeluarkan komen-komen berkaitan isu 3R (kaum, agama, raja), menurut Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, isu itu akan berterusan dimainkan bukan sahaja ketika pilihan raya, justeru pihaknya akan terus memantau kenyataan-kenyataan berkaitannya bagi memastikan ia tidak dieksploitasi pihak-pihak tertentu.

“Selepas PRN dan PRK ini, mungkin semasa PRU akan dimainkan lagi. Pasti ada individu yang tidak bertanggungjawab daripada semua lapisan masyarakat melakukan perkara ini.

“Pihak berkuasa termasuk polis telah beri amaran banyak kali, nasihat sudah banyak kali, tetapi masih ada lagi yang gunakan kesempatan untuk mengeksploitasi demi kepentingan politik mereka.

“Pihak polis akan sentiasa memantau. Sekiranya ada lagi yang didapati melakukan perbuatan itu, kita akan lakukan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian PRK Pulai di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Johor Bahru, lapor Utusan Malaysia.

Ayob Khan turut berpesan kepada semua pihak agar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Jangan bila kita buka kertas siasatan, ditangkap, dituduh dan dijatuhkan hukuman barulah timbul rasa kesedaran atau mahu mengundang simpati ramai,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.