Cuaca mendung, hujan iringi proses pengundian PRK Pulai, Simpang Jeram

Cuaca mendung, hujan iringi proses pengundian PRK Pulai, Simpang Jeram

Menurut MetMalaysia, cuaca diramalkan hujan di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang bagi kedua-dua kawasan.

Seramai 3,370 petugas SPR dan 4,000 pegawai dan anggota polis bertugas bagi memastikan kelancaran proses pengundian bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram hari ini.
JOHOR BAHRU:
Cuaca mendung dan hujan mengiringi proses pengundian di 61 pusat mengundi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hari ini.

Di Pulai, cuaca cerah pada sebelah pagi dilihat beransur mendung di 47 pusat pengundian, begitu juga dengan keadaan di Simpang Jeram yang mempunyai 14 pusat pengundian.

Menurut lawan web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca diramalkan hujan di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang bagi kedua-dua kawasan.

Sementara itu, pengundi dilihat hadir ke pusat pengundian seawal 7 pagi susulan peringatan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menggalakkan pengundi melaksanakan tanggungjawab lebih awal susulan keadaan cuaca tidak menentu.

Terdahulu petugas SPR, pasukan keselamatan serta petugas lain mula berkumpul seawal 6 pagi dan diberi taklimat mengenai tugas masing-masing di pusat pengundian sebelum ia dibuka pada 8 pagi tadi.

Seramai 3,370 petugas SPR dan 4,000 pegawai dan anggota polis bertugas bagi memastikan kelancaran proses pengundian hari ini.

Ini termasuk pemantauan dan kawalan keselamatan di semua pusat mengundi, pusat penjumlahan undi dan kawasan sekitar serta kelancaran lalu lintas.

Mengikut SPR, seramai 165,509 pengundi memilih di Parlimen Pulai manakala 48,301 memilih di DUN Simpang Jeram.

Kedua-dua PRK itu dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.