
Dalam kenyataan kepada FMT, Ayamas menegaskan bahawa semua kemudahan syarikat tersebut mematuhi prosedur keselamatan yang ketat dan mematuhi standard amalan pembuatan yang baik, dengan pengalaman lebih dari dua dekad.
“Ini terutama bagi pekerja-pekerja yang berkaitan dengan produk. Mereka diberikan kelengkapan perlindungan standard industri termasuk penutup muka yang disahkan dan selaras dengan panduan semasa,” kata syarikat itu.
Ayamas mengakui terdapat kelewatan dalam pembayaran gaji pekerjanya, tetapi mendakwa ia disebabkan tempoh pemprosesan yang diperlukan untuk mendapatkan permit kerja dan melengkapkan pemindahan majikan seperti yang diperlukan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Sebagai penyelesaian, Ayamas berkata ia memohon kebenaran untuk membayar gaji dalam bentuk tunai dan membayar pendahuluan separuh gaji bulanan untuk membolehkan pekerja menampung keperluan perbelanjaan. Syarikat itu berkata semua gaji dibayar sepenuhnya menjelang akhir Ogos.
Pada Ahad, FMT melaporkan aktivis hak pekerja asing mendakwa lebih dari 200 pekerja Bangladesh dan Nepal yang bekerja di kilang pemprosesan ayam di Lembah Klang diugut untuk dihantar pulang.
Andy Hall berkata ugutan itu dibuat oleh pengurusan kilang selepas pihak berkuasa campur tangan setelah mendapat laporan keadaan kerja yang buruk dan kelewatan pembayaran gaji.
Hall berkata pekerja di kawasan penerimaan, terutamanya pekerja Bangladesh, terdedah kepada keadaan tidak bersih yang melibatkan najis dan darah dan tidak mempunyai kelengkapan perlindungan yang lengkap.
Mereka juga hanya menerima gaji tiga bulan selepas pihak berkuasa campur tangan.
Dalam kenyataannya, Ayamas berkata ia mengadakan sesi perjumpaan berkala dengan pekerjanya. Salah satu sesi melibatkan penerangan kepada pekerja mengenai syarat dan peraturan pekerjaan.
“Ini adalah sesi berkongsi maklumat yang biasa dan tidak harus disalahtafsirkan sebagai bentuk ancaman secara langsung atau tidak langsung,” kata syarikat itu.
Ayamas menambah bahawa ia bekerja sama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memperoleh pekerja asing ini selepas mereka ditinggalkan tanpa pekerjaan yang dijanjikan oleh pihak lain.
“Kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen, dan Kedutaan Besar Bangladesh,” kata syarikat itu.