Kadar pengangguran negara kekal 3.4% pada Julai

Kadar pengangguran negara kekal 3.4% pada Julai

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh negara dilihat berkembang secara sederhana.

Sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan, borong dan runcit.
PETALING JAYA:
Kadar pengangguran di Malaysia pada Jun kekal pada 3.4%, menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam statistik bulanan tenaga buruh, jabatan itu berkata jumlah penganggur menurun daripada 581,700 pada Jun kepada 579,200 pada Julai.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh negara dilihat berkembang secara sederhana, merekodkan bilangan penduduk bekerja yang semakin meningkat.

“Bilangan tenaga buruh pada Julai naik sebanyak 0.1% kepada 16.91 juta berbanding 16.89 juta pada Jun,” katanya.

Uzir berkata kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi pada Julai iaitu pada 70.1% berbanding 70.0% pada Jun.

Tambahnya, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit; dan pendidikan.

Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan serta kuari juga kekal dalam trend positif, manakala sektor pembuatan dan pertanian merekodkan penurunan pada Julai.

Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, mencatatkan penurunan sebanyak 0.3% kepada 114,500 daripada 114,800 pada Jun.

Manakala, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 10.9%, dengan bilangan seramai 311,200 berbanding 11% atau 312,400 pada Jun.

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula adalah 6.8% atau 444,800 berbading pada Jun iaitu seramai 446,800 orang atau 6.9%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.