
Di sebalik kritikan pelbagai pihak terhadap Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim selepas mahkamah melepaskan Zahid tanpa membebaskannya, Ali Baba Bacha Maidin, seorang peniaga kecil berusia 54 tahun, berkata ada isu lain lagi penting.
“Barang naik, kita tanggung sendiri,” katanya, yang berharap pilihannya kelak akan membawa kepada peningkatan taraf hidup rakyat jelata.
“Saya tak nak masuk campur urusan politik, kita cakap pun tak guna.”
Ali juga tidak mempertikaikan kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam kerajaan perpaduan, meskipun maklum perseteruan antara mereka sebelum ini.
“Itu semua kerajaan punya urusan. Kita rakyat kena mengundi. Politik jangan dengar sangat.”
Sentimen sama dikongsi Ngoo Choon Lai, 66, yang mengakui tidak mengikuti perkembangan kes Zahid. Sebaliknya, pengumuman kerajaan tentang membaiki tandas dan bangunan sekolah daif lebih menarik perhatian.
“Kita tengok dia baiki sekolah kita pun setuju,” katanya. “Kita ikut orang baik. Lain punya hal kita tak tahu.”
Seorang lagi pengundi berketurunan Cina, yang enggan mendedahkan identitinya berkata pelepasan Zahid tidak menjejaskan sokongannya kepada PH.
“Ini kali pun mesti PH juga. Isu Zahid itu tidak beri kesan, hal kecil sahaja,” kata peniaga kecil itu.
Penganalisis menjangkakan PH mampu mempertahankan Parlimen Pulau, namun dengan majoriti lebih rendah, berdasarkan kepada trend peratusan keluar mengundi yang rendah semasa PRK.
PH mempertahankan kerusi itu pada PRU15 dengan majoriti lebih 30,000 undi, menerusi calon daripada Amanah, Salahuddin Ayub.