
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 10.30 malam di rumahnya di Taman Saga, semalam.
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata siasatan mendapati mangsa dipercayai mula dicabul dan dirogol sejak Januari 2020 ketika dia berusia 13 tahun.
“Pada 28 Ogos lalu, suspek mencabul mangsa. Kejadian di Taman Saga pula berlaku ketika mangsa berada di dapur dan suspek sekali lagi mencabul mangsa kira-kira 8 malam, pada 30 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Azam berkata, berdasarkan aduan diterima pada Selasa lalu, polis menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa untuk membantu siasatan.
Katanya, suspek didapati mempunyai dua rekod lampau berkait kes jenayah dan ujian saringan air kencing didapati negatif.
“Ketika disoal siasat, suspek menafikan merogol dan mencabul mangsa sebaliknya mendakwa mangsa mereka-reka cerita kerana suspek tegas mendidik.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang menemui kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa,” katanya.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari hingga 14 Sept ini untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan rogol.