Sarawak mahu ketuai usaha guna bahan buangan bina jalan

Sarawak mahu ketuai usaha guna bahan buangan bina jalan

Negeri itu berhasrat menerajui inisiatif penggunaan bahan buangan seperti plastik dan sanga untuk membina jalan raya.

Douglas Uggah Embas berkata, JKR negeri sedang menjalankan penyelidikan bagi memastikan proses penggunaan bahan buangan untuk pembinaan infrastruktur menepati standard nasional. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sarawak berhasrat menerajui inisiatif penggunaan bahan buangan seperti plastik dan sanga untuk pembinaan jalan raya, kata Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas.

Menteri infrastruktur dan pembangunan pelabuhan Sarawak itu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menjalankan penyelidikan bagi memastikan keseluruhan proses penggunaan produk sampingan untuk projek pembinaan infrastruktur menepati standard nasional.

“Sarawak sangat berinovatif dan saya sangat positif jika ia (penggunaan plastik) boleh dilakukan (untuk membina jalan raya) di Victoria, Australia, maka tiada sebab ia tidak boleh dilakukan di Sarawak.

“Saya tidak boleh nyatakan tempoh masa penyediaannya, tetapi saya berharap pihak swasta mengambil inisiatif ini kerana merekalah nanti akan menjadi pemain utama menghasilkan sisa buangan dan pada masa sama menjadikan ia bahan pembinaan jalan raya,” katanya selepas menghadiri Seminar Pembinaan Jalan Raya di sini.

Seminar bertemakan “Revolutionizing Road and Airport Infrastructure: Exploring Cutting Edge Technologies, Innovative & Recycled Materials, and Real-World Applications” anjuran Institusi Jurutera Malaysia itu bagi membincangkan teknologi dan inisiatif pembinaan jalan raya serta lapangan terbang menggunakan bahan kitar semula.

Merujuk penggunaan sanga, yakni hasil sampingan daripada peleburan atau penapisan bijih dalam projek pembinaan jalan raya, Uggah berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai perkara itu memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf sanga sebagai bahan pembinaan.

“Buat masa ini, kita masih tidak boleh menggunakan sanga untuk membina jalan kerana JKR masih menjalankan kajian mengenainya,” katanya sambil menambah sanga dihasilkan industri ferroalloy di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu ketika ini berjumlah 100,000 tan setahun, dikelaskan sebagai bahan buangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.