
Asrul Hadi Abdullah Sani dari Bower Group Asia berkata selepas keputusan kes Zahid, Umno kemungkinan cuba membebaskan Najib dari penjara kerana mereka percaya bahawa bekas perdana menteri itu juga menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik.
“Zahid juga akan menghadapi tekanan daripada akar umbi parti yang menuntut pembebasan Najib, terutama selepas presiden Umno itu berjanji untuk memperjuangkan kebebasan Najib di perhimpunan agung parti awal tahun ini,” katanya kepada FMT.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 tuduhan rasuah, jenayah pecah amanah, dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, walaupun sebelum ini mendapati terdapat prima facie dalam kes itu.
Najib pula yang dibicara di Mahkamah Tinggi didapati bersalah oleh Hakim Nazlan Ghazali atas tujuh tuduhan salahguna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram berkait RM42 juta dana milik SRC International.
Najib didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun, yang dijalani ketika ini.
Rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak masing-masing pada 8 Dis 2021 dan 23 Ogos tahun lalu. Pada 23 Mac tahun ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula keputusan rayuannya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penyokong Najib akan menggunakan fakta bahawa peguam negara memohon Zahid dilepas tanpa dibebaskan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri atas tuduhan dihadapinya.
“(Ini menjadikan) ia nampak sangat boleh dipercayai bahawa kes Najib juga merupakan pendakwaan yang bermotifkan politik,” katanya.
Bagaimanapun, Asrul memberi amaran bahawa kerajaan perpaduan mungkin tidak akan bertahan hingga tamat tempoh penggal jika Najib dibebaskan, kerana penyokong Pakatan Harapan sudah “tidak selesa” dengan pembebasan yang diperoleh Zahid.
Azmi menambah pembebasan Zahid juga mencipta persepsi bahawa kehadiran timbalan perdana menteri dalam kerajaan akan membantu Najib.
Katanya situasi ini tidak terlalu berbeza yang dihadapi bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra apabila hukuman penjaranya dikurangkan dari lapan tahun kepada satu tahun pada awal bulan ini selepas beliau mengemukakan permohonan pengampunan diraja.
Ini berlaku tidak lama selepas pelantikan perdana menteri Thailand yang baru, Srettha Thavisin, seorang jutawan hartanah dan ahli parti Pheu Thai yang mempunyai hubungan lama dengan Thaksin.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya juga percaya bahawa keputusan kes Zahid itu akan membuat penyokong Najib lebih vokal bagi menuntut empat lagi kes yang dihadapi oleh bekas perdana menteri itu dihentikan.
Kes-kes ini berkaitan dengan tuduhan pengubahan laporan audit 1MDB, penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion, dan penyelewengan RM6.6 bilion dana awam yang melibatkan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company.
Najib juga menghadapi tuduhan pengubahan wang haram, di mana beliau didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun AmPrivate Banking.