
Akmal yang juga Adun Merlimau berkata permohonan penajaan itu terbuka kepada semua penghantar makanan di semua kawasan dan tanpa mengira syarikat mereka bernaung.
Menurutnya, kerajaan ada memberikan subsidi kepada golongan itu untuk mendapat perlindungan daripada Perkeso namun perlu membayar lebihan RM46 yang akan dibayar beliau menggunakan dana sendiri.
“Apabila kita tengok banyak penghantar makanan terlibat dalam kemalangan, rawatan di hospital memang percuma…ada subsidi. Tapi kalau macam kes patah kaki tangan, kerajaan tidak menanggung subsidi kos implan…besi kena bayar sendiri.
“Dia nak rehat, tak boleh bekerja, jadi putus pendapatan,” katanya dalam video di Facebook.
Bulan lalu, Perkeso menyaran pekerja yang terlibat dalam sektor penghantaran makanan (p-hailing) dan pengangkutan penumpang (e-hailing) disaran segera mendaftar serta membuat caruman dengan Perkeso bagi menjamin kebajikan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, masih ramai daripada golongan itu didapati tidak mencarum dengan Perkeso apabila hanya 29.8 peratus atau 208,818 individu berbuat demikian daripada keseluruhan 700,704 orang yang aktif.