
Beliau menyarankan Khairudin cermin diri sendiri apabila bercakap tentang perubahan sikap, selepas keluar parti dan menyertai Umno.
“Dulu kita beri kepercayaan kepadanya sehingga menjadi pemimpin utama PAS dan menjadi menteri dari PAS, tetapi dari PAS masuk ke Umno dan bertanding atas tiket Umno,” katanya kepada FMT.
Khairuddin yang dahulunya ahli jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini berkata ketika Zahid berdepan pendakwaan selepas PRU14, PAS bersama-sama mempertahankan presiden Umno itu atas nama kerjasama pembangkang.
Beliau yang kini setiausaha eksekutif majlis ulama Umno turut mempersoalkan kenapa PAS tidak merujuk kepada prinsip tidak bersalah selagi tidak dibuktikan.
Hashim bagaimanapun berkata apakah tindakan Khairuddin keluar PAS mengikut prinsip. “Kalau dia sendiri tak ikut, jangan pertikai orang lain.”
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas Zahid tanpa membebaskan beliau daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid pada peringkat itu.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan keputusan itu “hari gelap bagi sistem perundangan negara”.