
KUALA LUMPUR: Bank Negara (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%.
Ini kali ketiga berturut-turut MPC mengekalkan OPR pada paras itu.
Dalam kenyataan sejurus berakhirnya mesyuarat itu, BNM menjelaskan pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta konsisten dengan penilaian semasa berkaitan prospek pertumbuhan dan inflasi.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mampan dalam keadaan harga yang stabil.”
Mesyuarat keenam dan terakhir MPC bagi tahun ini dijadualkan berlangsung 1 hingga 2 Nov nanti.