Tentera terima panglima baharu; Mohammad ganti Affendi

Tentera terima panglima baharu; Mohammad ganti Affendi

Jen Mohammad Ab Rahman menggantikan Jen Affendi Buang yang bersara wajib.

Jen Mohammad Ab Rahman (kanan) menggantikan Jen Affendi Buang sebagai panglima angkatan tentera ke-22, di majlis serah terima tugas hari ini.
KUALA LUMPUR:
Jen Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai panglima angkatan tentera yang ke-22 berkuatkuasa hari ini, menggantikan Jen Affendi Buang.

Mohammad yang sebelum ini merupakan panglima tentera darat mengambil alih jawatan nombor satu tentera itu daripada Affendi, yang bersara wajib.

Majlis serah terima tugas panglima angkatan tentera disaksikan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

Mohammad 59, berasal dari Machang, Kelantan menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada 1980.

Pemegang ijazah sarjana muda sains komputer dari University of North Carolina, Amerika Syarikat itu ditauliahkan sebagai pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1987 dan berkhidmat selama 36 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah pegawai memerintah Batalion ke-23 RAMD (23 RAMD), panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), panglima Latihan Tentera Darat, dan panglima Medan Barat.

Mac lalu, Mohammad dilantik sebagai panglima tentera darat ke-29 menggantikan Jen Zamrose Mohd Zain yang bersara selepas 42 tahun berkhidmat sebagai pegawai tentera.

Menteri Mohamad Hasan dalam ucapannya berkata Mohammad mempamerkan kecemerlangan sepanjang 36 tahun berkhidmat.

“Bahkan, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Jen Mohammad dilantik sebagai pengarah bersama di Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), yang telah berjaya menyelaras proses pemulihan dan membantu Malaysia keluar dari pandemik melalui Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan pada 2021,” katanya.

“Jen Affendi, bekas panglima tentera, bagi pihak negara dan bangsa yang sangat berterima kasih, izinkan saya menzahirkan penghargaan dan sanjungan yang sangat tinggi kepada Tan Sri atas derma bakti, jasa dan pengorbanan mulia pada tanahair yang sangat kita cintai ini. 43 tahun tempoh khidmat yang sangat luar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.