
Muhyiddin berkata ucapan “panjang” beliau pada 2 Sept lalu itu antara lain menyentuh isu kos sara hidup yang didakwanya gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan perpaduan, maka pengundi diseru jangan beri undi kepada calon PH, Suhaizan Kaiat.
“Saya tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH. Saya hanya secara berkias menyebut ‘saya bagi hukum haram’ dengan tiada niat bahawa ianya adalah fatwa hukum syarak,” katanya dalam kenyataan.
“Kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut ‘ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana’.”
Muhyiddin berkata beliau faham hukum agama dan tahu tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa.
Beliau juga percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapannya semasa ceramah tersebut faham maksudnya.
“Berdasarkan respon hadirin pada malam itu saya yakin mereka tidak mengambil kenyataan saya secara serius sebagai suatu fatwa agama,” katanya.
“Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.”
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa dalam ceramah di Dataran Utama, Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan Kayat’.
Susulan daripada itu, satu kertas siasatan telah dibuka keatasnya, serta polis akan merakam kenyataannya, Isnin depan.