DNAA Zahid: SPRM siasat lanjut kes Yayasan Akalbudi

DNAA Zahid: SPRM siasat lanjut kes Yayasan Akalbudi

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pegawai penyiasat.

Azam Baki berkata SPRM akan melakukan siasatan lanjut susulan Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas berkait kes Yayasan Akalbudi.
SEPANG:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau menyerahkan kepada pegawai penyiasat SPRM untuk menyiasat lanjut kes pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

“Saya serahkan kepada pegawai penyiasat saya untuk menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah.

Sequerah yang membuat keputusan tersebut, menyatakan alasan dikemukakan pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.