
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata pihaknya memberikan komitmen sepenuhnya, bagi memastikan kelancaran pulang pemilih yang tinggal dan bekerja di Singapura, untuk mengundi pada Sabtu ini.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada kaunter khas akan dibuka untuk pengundi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
“Tiada kaunter khas untuk pengundi. Komitmen kami ialah buka semua kaunter bermula Jumaat, iaitu sehari sebelum hari mengundi bagi kedua-dua PRK,” katanya kepada Bernama.
Baharuddin berkata secara keseluruhan, terdapat sebanyak 236 kaunter masuk dan keluar imigresen di CIQ BSI yang terdiri daripada kaunter motosikal (100), kereta (60), bas (36) dan autogate (40).
“Di KSAB pula, terdapat 162 kaunter masuk dan keluar dengan kaunter motosikal (50), kereta (48), bas (52) dan autogate (12),” katanya.
Baharuddin berkata jabatan itu akan menempatkan seramai 2,000 pegawai dan anggota untuk bertugas di kedua-dua pintu masuk itu, dengan pengoperasian pada kadar 85 peratus.
PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.
SPR menetapkan pengundian awal hari ini dan hari mengundi pada Sabtu.