Penganjur perlu bertanggungjawab kematian pelumba drag, kata KBS

Penganjur perlu bertanggungjawab kematian pelumba drag, kata KBS

Ketua Setiausaha KBS K Nagulendran berkata penganjuran perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan Persatuan Permotoran Malaysia.

Muhammad Hattem Rashdi meninggal dunia susulan motosikal ditunggangnya terbabas pada perlumbaan di Speedway Circuit, Taman Tasik Abu Bakar, Pekan, Pahang, Ahad lalu. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta penganjur perlumbaan bertanggungjawab berhubung insiden yang menyebabkan pelumba drag Muhammad Hattem Rashdi meninggal dunia selepas terbabit kemalangan Ahad lalu.

Ketua Setiausaha KBS, K Nagulendran, berkata ia berikutan penganjuran perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 itu tidak mendapat kelulusan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Beliau berkata, KBS juga meminta MAM menjalankan tindakan susulan dengan penganjur bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung insiden berkenaan.

“Aktiviti tersebut kita sudah semak dan penganjur tidak mendapat kelulusan (daripada MAM) selain bukan program disokong KBS.

“Kami kesal kejadian ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab kerana saya tidak rasa ia sesuatu yang betul untuk mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan,” katanya pada sidang media sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2023.

Menurut Nagulendran, penganjur aktiviti sukan bukan sahaja perlu memohon kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing malah mereka juga harus mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Katanya, langkah berkenaan bertepatan dengan usaha KBS dalam mempromosikan sukan selamat bukan sahaja fizikal malah mental menerusi Kod Sukan Selamat yang menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan.

Hattem, 22, meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam susulan motosikal ditunggangnya terbabas pada hari pertama perlumbaan di Speedway Circuit, Taman Tasik Abu Bakar, Pekan, Pahang, pada 12.30 tengah malam, 3 Sept lalu.

Mangsa yang mewakili ESR Motor menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, menghembuskan nafas terakhir petang semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.