Mahkamah batal petisyen pilihan raya Ku Li di Gua Musang

Mahkamah batal petisyen pilihan raya Ku Li di Gua Musang

Mahkamah Pilihan Raya Kota Bharu membatalkan petisyen itu selepas Ku Li memecat barisan peguamnya.

Petisyen pilihan raya yang difailkan Tengku Razaleigh Hamzah (kiri) untuk mencabar kemenangan Azizi Abu Naim di Gua Musang pada PRU15 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
PETALING JAYA:
Petisyen pilihan raya dikemukakan Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan kerusi Parlimen Gua Musang dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Kota Bharu.

Ini selepas calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah memecat barisan peguamnya.

Yusfarizal Yusoff, peguam yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional, Azizi Abu Naim, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“Petisyen Gua Musang dibatalkan kerana Ku Li (Tengku Razaleigh) memecat semua peguamnya, termasuk Shafee Abdullah dan Hafarizam (Harun).

“Mahkamah ditunjukkan surat (bertarikh 4 Sept kepada firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk menamatkan perkhidmatan mereka), dengan salinan yang dihantar kepada peguam-peguam responden (Azizi) pagi ini,” katanya menurut laporan itu.

Pada 3 Januari, peguam Azmi Mahmood mengemukakan petisyen bagi pihak Tengku Razaleigh untuk membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Gua Musang, kerana mendakwa berlaku amalan membeli undi.

Pada awalnya, petisyen itu ditolak Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Februari, yang memutuskan bahawa ia tidak difailkan dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun, pada 19 Jun, Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen tersebut dan memerintahkan perbicaraan penuh dijalankan.

Azizi memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 163 undi pada PRU15, November tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.