Henti projek ‘kasta sekolah’, ahli akademik beritahu KPM

Henti projek ‘kasta sekolah’, ahli akademik beritahu KPM

Anuar Ahmad dari UKM berkata label sekolah berprestasi tinggi, kluster, dan premier mewujudkan jurang ketaksamaan walau berada dalam kawasan sama.

Anuar Ahmad mendakwa ‘sekolah kasta rendah’ sukar mendapatkan peruntukan naik taraf infrastruktur sekali gus menjadikan sekolah itu dalam keadaan daif. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mendakwa “sistem kasta” diperkenal Kementerian Pendidikan (KPM) menyebabkan ada sekolah harian biasa sukar mendapat peruntukan membaiki kemudahan uzur dan tenaga pengajar berkualiti.

Merujuk kepada projek seperti sekolah berprestasi tinggi dan premier, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pusat dikatakan menempatkan pelajar cemerlang itu mewujudkan jurang dengan sekolah harian biasa lain walaupun terletak dalam kawasan sama.

Menurut Anuar, menggunakan alasan ‘projek khas’ sekolah terbabit diberikan kemudahan lengkap dan guru hebat, menyebabkan situasi tidak seimbang susulan ramai ibu bapa berebut mahukan anak-anak masuk ke sekolah ‘kasta tinggi’.

Anuar Ahmad.

“Akhirnya sekolah ‘kasta rendah’ di dalam kawasan atau daerah yang sama tidak dapat kemudahan sebaik sekolah berprestasi tinggi ini.

“Tanpa bajet yang mencukupi sekolah ‘kasta rendah’ ini semakin lama semakin uzur dan daif,” katanya di Facebook sambil mendedahkan sering mendapat keluhan guru-guru dari sekolah berkenaan yang sukar mendapat peruntukan menaik taraf infrastruktur.

Anuar yang juga setiausaha kluster pendidikan & modal insan Majlis Profesor Negara berkata situasi itu tidak adil untuk sekolah daif, namun sukar mendapat peruntukan kerana tidak terletak pada ‘kasta tinggi’.

“Tidak sepatutnya sekolah ‘kasta tinggi’ diberikan layanan lebih istimewa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KPM untuk menghentikan idea projek khas seperti itu lagi kerana kesan besar kepada sekolah “kasta rendah” antaranya bergelut dengan pelbagai masalah disiplin murid.

“Fokuslah untuk sedia sekolah berkualiti untuk semua murid tanpa mengikut kategori sekolah.

“Semua murid tak kira mereka pandai atau lemah, kaya atau miskin, sihat atau OKU berhak mendapat pendidikan berkualiti…janganlah ada dasar atau budaya dalam pendidikan yang membeza-bezakannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.