
Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook berkata pihaknya mengambil maklum kritikan ramai terhadap keputusan itu dan memahami permohonan menamatkan prosiding sementara siasatan lebih terperinci dibuat adalah budi bicara peguam negara.
“DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.
“Penjelasan ini penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Untuk rekod, kontrak Idrus sebagai peguam negara tamat hari ini dan bakal digantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang pelantikannya bakal berkuat kuasa esok.
Loke juga menegaskan DAP akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Ini bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini.
Sebelum ini, Zahid yang juga timbalan perdana menteri diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram.
Beliau dituduh melakukan pengubahan wang membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.