
Ketuanya Saarani Mohamad berkata keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya, perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
“Kerajaan perpaduan perlu menjadi teladan dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada institusi perundangan dalam menegakkan keadilan.
“Dengan ini, episod hitam pendakwaan politik tidak lagi berulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Hari ini, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Zahid atas semua 47 tuduhan rasuah,pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.
Zahid sebelum ini diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram.
Presiden Umno itu dituduh melakukan pengubahan wang membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri
antara 2013 dan 2018.
Zahid dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lalu mendakwa sesuatu akan berlaku terhadap dirinya jika tidak mengikuti arahan Dr Mahathir Mohamad pada 2018, supaya membubarkan Umno dan menyertai Bersatu.
Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Zahid juga menafikan bertemu Mahathir untuk meminta bantuan menyelesaikan kesnya.