
Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun di penempatan berkenaan, dan sebagai permulaan terdapat 23 kanak-kanak warga asing serta 10 penjaga terdiri daripada ibu kanak-kanak itu berada di pusat itu.
Katanya, warga asing terlibat dalam inisiatif ini terdiri kanak-kanak dan ibu kanak-kanak dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Semenyih, KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium Beranang.
“Pada 22 Ogos lepas, KDN mengenal pasti premis ini untuk menempatkan kumpulan pertama iaitu 80 kanak-kanak…untuk rekod, terdapat 1,382 tahanan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dalam kategori dengan penjaga dan tanpa penjaga.
“Jumlah ini menjadi sasaran, agar kanak-kanak ini diberikan tempat perlindungan yang lebih ada ihsan dan manusiawi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Premis Tadika Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Saifuddin berkata, kanak-kanak yang ditempatkan itu akan berada di premis berkenaan sehingga urusan dokumentasi mereka selesai dan dihantar pulang ke negara asal.
Katanya pemindahan kanak-kanak dari depot imigresen itu atas dasar kemanusiaan, selaras komitmen kerajaan dalam melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Beliau berkata, 28 pegawai imigresen dibantu 22 anggota Rela, penolong pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) akan bertugas secara syif di pusat jagaan itu.
“Antara kemudahan disediakan di pusat jagaan ini ialah ruang pembelajaran, bilik pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta taman permainan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut bekerjasama memberikan sumbangan barangan keperluan asas seperti lampin pakai buang, pakaian, susu dan makanan.