
Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, gabungan PH-BN akan meraih undi simpati memandangkan Salahuddin Ayub popular dan sangat disukai di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, dua kerusi diwakilinya sebelum pemergiannya bulan lepas.
“Situasi itu seakan sama pada PRK Kuala Kangsar, Perak pada 2016 apabila isteri kepada Ahli Parlimen meninggal dunia dipilih,” katanya kepada FMT.
Dua PRK di Johor itu akan diadakan pada 9 Sept susulan kematian Salahuddin.
Azmil berkata, sokongan “berterusan” kepada PN dijangka berlanjutan seperti mana pilihan raya sebelum ini. Bagaimanapun, peralihan undi Melayu daripada penyokong BN kepada PN, “tidak terlalu memberi kesan apabila mengambil kira golongan bukan Melayu mewakili hampir separuh pengundi, jika mereka keluar mengundi”.
Namun, beliau meramalkan gabungan dua parti itu akan berdepan kemerosotan majoriti.
Seorang lagi penganalisis, Zaini Othman daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, PN akan menunjukkan prestasi baik atau “paling tidak memberikan saingan sengit” dalam dua PRK tersebut. Katanya, retorik PAS “selamatkan Islam” ada “pembelinya”.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan PRK akan menjadi ujian kepada kematangan berpolitik PAS. Parti itu mesti fokus membuat tawaran kepada pengundi berbanding terus melancarkan serangan peribadi.
Katanya, PRK Pulai dan Simpang Jeram juga merupakan ujian lapangan untuk melihat sejauh mana “gelombang hijau” bertapak di Johor.